Tuesday, 11 October 2011

SAINS DI SEKELILING KITA


Definisi awal sains


Dalam pendidikan awal kanak-kanak, proses sains adalah suatu pembelajaran yang dapat menggalakkan kanak-kanak memperoleh pengetahuan melalui pemerhatian dan penerokaan mereka terhadap sesuatu objek atau benda yang berada di sekitar mereka. Ianya dapat menggalakkan minat ingin tahu kanak-kanak yang sememangnya tinggi dan membantu mereka untuk berfikir dengan lebih mendalam serta mendapatkan maklumat yang lebih saintifik melalui kaedah cuba-cuba dan  penerokaan tersebut. Secara kesimpulannya, sains pada peringkat pra-sekolah adalah sesuatu perkara yang dapat membuatkan kanak-kanak berasa takjub, hairan, ingin tahu dan terokai. Sains adalah suatu proses memerhati, berfikir, menaakul dan sebagainya selain ia melibatkan suatu proses eksperimen yang mudah bersesuaian dengan umur kanak-kanak.






Kenapa sains perlu diajar pada peringkat awal kanak-kanak?




  • Ini kerana kanak-kanak pada peringkat umur awal 4-6 tahun mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi dan pada peringkat ini mereka akan dapat menyerap apa sahaja yang diajarkan kepada mereka dengan mudah tanpa rasa terpaksa.
  • Kanak-kanak dapat diterapkan dengan nilai mencintai, menghargai, menjaga serta memelihara alam sekitar tempat mereka berada dengan baik.
  • Merangsang minat dan minda kanak-kanak untuk berfikir contohnya bagaimana jentik-jentik boleh bertukar menjadi nyamuk, dan kenapa nyamuk boleh membawa penyakit?
  • Memenuhi sifat ingin tahu kanak-kanak selain merangsang rasa ingin tahu mereka.






SAINS DI SEKITAR KANAK-KANAK



Kanak-kanak boleh diajar mengenai sains yang berada pada diri mereka dengan kaedah nyanyian seperti menerusi lagu head, shoulders, knees, and toes.  Ianya dapat menyedarkan kanak-kanak bahawa mereka menerokai sains melalui deria mereka iaitu hidung yang digunakan untuk menghidu, mata yang digunakan untuk memerhati, lidah yang digunakan untuk merasa, tangan yang digunakan untuk menyentuh, dan telinga yang digunakan untuk mendengar bunyi di sekeliling mereka. 

Kanak-kanak akan menerokai persekitaran menggunakan deria yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Secara tidak langsung mereka akan diajar untuk mensyukuri nikmat kesihatan deria yang diberikan kepada mereka. Kanak-kanak juga boleh diminta untuk sentiasa memerhati setiap perkara berkaitan sains yang mereka alami dan bertanyakan kepada guru sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan guru perlu mengajak kanak-kanak untuk mencari penyelesaian mudah kepada setiap persoalan itu melalui proses eksperimen. Penerapan rasa ingin tahu yang tinggi ini dapat merangsang minda kanak-kanak untuk berfikir dan secara tidak langsung mampu mengaktifkan minda mereka ke tahap optimum.







No comments:

Post a Comment